Buat teman-teman
Wahai teman-temanku…
Mengapa kelmarin tiada aku melihatmu di majlis Solat Berjemaah?Apakah kesibukanmu terlalu menekanmu sehingga tiada dapat kau luangkan sedikit masamu untuk menghadiri solat jemaah? Apakah urusan yang begitu penting sehingga menyibukkanmu dari meneladani sunnah baginda junjungan.?
Kita telah pun diberitahu, solat jemaah itu besar pahalanya. Siapa solat berjamaah dapat 27 pahala. Siapa solat sendirian dapat 1 pahala. Mengapa keuntungan dunia kita amat teliti menghitungnya, sedang keuntungan akhirat kita dengar bagai masuk telinga kanan keluar telinga kiri sahaja? Mana kebijaksanaan kita dalam beramal jika kita memilih yang menghasilkan 1 pahala dan meninggalkan 27 pahala? Apakah kita patut merasakan kita masih punya umur yang panjang buat mengumpul pahala sedangkan maut tidak pernah memberitahu tarikh kehadirannya menjemput kita?
Wahai teman-temanku…
Kita telah diberitahu bahawa Nabi Junjungan tidak pernah meninggalkan solat berjemaah selama hanyatnya kecuali saat terakhir ketika sakit kematiannya. Kita telah diberitahu banyak hadis tentang ancaman meninggalkan solat berjemaah. Mengapa semua pengetahuan itu tidak memberi guna kepada kita? Apakah kita harus memadai dengan pengetahuan tanpa berusaha mengamalkannya? Patutkan kita contohi segerombolan keldai yang merasa cukup bagus hanya kerana menanggung beban kitab-kitab padahal tak pandai membacanya.
Wahai teman-temanku…
Marilah kita sahut panggilan ilahi. Marilah kita bangun dan sebarkan peringatan ini .Kita agungkan Tuhan kita melebihi segala yang kita ada. Anak-anak dan isteri maupun rumah tangga dan harta benda. Mari kita kemaskan pakaian kita dan kita redahi segala halangan. Usahlah mimpikan amal yang besar-besar yang membawamu syahid. Cukuplah sekadar mengatur sepasang kaki kerdil menuju masjid dan dirikan solat berjemaah.
Wahai teman-temanku…
Aku menyeru kamu dan mengingatkan diriku agar memakmurkan masjid-masjid kerana dengan cara ini kita dapat banyak faedah dunia dan akhirat. Kita boleh menunjukkan syiar Islam kepada masyarakat sekeliling kita dan kita dapat pula mencari kebajikan besar dalam beramal akhirat.
Wahai teman-temanku….
Lapangkanlah dadamu.Terimalah ajakan ini. Bukalah tali yang menambatmu dengan rumahmu. Buktikan kecintaamu dengan sunnah Rasulullah. Setiap kali masuk waktu solat, tanya dirimu. Mengapa aku masuh di rumah sedangkan seruan membesarkan Allah telah berkumandang. Seruan “mari sembayang”,”mari menuju kejayaan” juga telah menyentuh gegendang telinga kita. Biarkan juga dia menyentuh hati kita. Biar iman kita segera menyahut. Yakinlah bahawa jika mampu menyahut seruan azan, itulah tanda bahawa ada iman dalam dirimu. Jika tidak, nafsu telah memperdayakanmu dan syaitan mempesonamu
Wahai teman-temanku…
Janganlah kau kecil hati dengan kata-kataku. Aku tidak berniat menyakiti hatimu. Aku hanya ingin meberi nasihat buatmu sebagai temanku. Telah gundah hatiku memikirkan kehilanganmu dari jemaah di surau. Alangkah baiknya jika kita menjadi pemuda-pemuda yang bergandingan bahu menyuburkan teladan nubuwwah dalam solat.
Allahummarhamna jami’a…amin ya rabbal alamin.
Oleh: PerenungLangit